Khamis, 12 September 2013

Kehendak Manusia Atau Kehendak Allah?

Saya cuma ingin berkongsi pendapat tentang keutamaan hidup kita. Bagi saya dalam apa pun keputusan hidup kita, kita perlu membuat keutamaan berdasarkan apa yang kita fahami dalam hidup. Dan pilihan itu adalah berdasarkan apa yang kita fahami tentang tujuan hidup.
Antara dua pilihan atau lebih dari dua pilihan, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik. Bagi kita ummat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. Maka jika menyentuh tentang kehidupan akhirat tentunya kita mahukan syurga dan jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan REDHA ALLAH SWT.
Sebenarnya pilihan ini dibuat berdasarkan apa yang telah kita lalui. Pengalaman. Kemudian lihat pula sejauh mana ilmu kita boleh menilai pilihan itu. Kita perlu faham kenapa seseorang penjenayah memilih untuk membuat jenayah. Apakah mereka tidak tahu jenayah adalah satu kesalahan dan dosa? Tapi mereka tetap mahu lakukannya. Ini sangat berkait dengan cara kehidupan mereka. Siapa mereka berkawan dan apa yang mereke telah lalui? Dan semua itu adalah di luar pengetahuan saya.
tumblr_ly8v78g5lz1r3rdlao1_500
Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pun, kita perlu utamakan pilihan yang mendapat redha dari Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegah-Nya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya.Selain dari itu adalah pilihan yang salah.
Dalam membuat pilihan sama ada untuk menjaga hati manusia atau menjaga Allah, tentulah kita perlu menjaga Allah.. walaupun terpaksa menyakitkan hati manusia. Tentulah agama melarang kita menyakiti sesama insan, tetapi yang manakah lebih penting? Redha Allah atau kesenangan hati manusia?
Dalam ketaatan kepada Ibu bapa, agama meletakkan sempadan dalam mentaati ibu bapa. Ketaatan yang boleh menyebabkan kita melanggar perintah Allah adalah dilarang. Maka seorang anak boleh ingkar jika ibu bapa mereka menyuruh melakukan kemungkaran. Seoarang anak wajib menolak permintaan yang melanggar perintah Allah secara baik dan sedaya upaya memperbetulkan keadaan itu, malah jika keadaan masih lagi di luar kawalannya, ambillah keputusan untuk tinggal berjauhan dan mohonlah pertolongan Allah. Allah pasti membantu hamba-Nya selalu mengutamakan perintah-Nya.
Jika seorang lelaki mengajak seorang wanita bercinta seperti yaang berlaku dalam kisah muda-mudi hari ini, wanita itu akhirnya termakan pujukan si lelaki kerana kasihan dan mahu menjaga hatinya. Adakah pilihan wanita itu betul? Adakah pilihan wanita itu selari dengan apa yang Allah mahu?
Akhirnya melahirkan perasaan yang lebih mendalam hingga boleh menjadikan wanita itu melanggar banyak lagi perintah. Adat orang bercinta berdua-duaan, samada secara realiti atau maya. Lumrah nafsu si lelaki akan meminta lebih lagi sebagai ‘bukti’ cinta. Si wanita akan menurut dengan alasan ingin menjaga hati. Namun jelas melanggar apa yang Allah mahu.
Tindakan wanita itu mungkin betul jika si lelaki benar-benar mahu mengahwininya pada masa terdekat. Jika tidak, hubungan cinta yang terlalu lama hanya membawa kemungkaran demi kemungkaran dan fitnah yang tidak akan disedari oleh si pelaku. Ini hanya disedari setelah perkara buruk berlaku. Ketika itu penyesalan adalah sia-sia.
Sememangnya banyak pilihan yang berlaku dalam hidup ini membuatkan kita buntu dan keliru dengan kepelbagaiannya. Namun jika kita membuat pilihan yang mengutamakan redha Allah, maka kita tidak mungkin rugi, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Banyak pilihan yang menyebabkan kita menyesal di kemudian hari dan sebenarnya kita telah menyedarinya ketika pilihan itu dibuat. Kerana kita berharap pilihan akibat pilihan itu adalah berlainan. Sebenarnya tidak.
Kita boleh membuat pilihan, tetapi tidak boleh memilih akibat pilihan itu.
Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi nyata.
tumblr_lm8cs33gqr1qjgjigo1_400

Sabtu, 24 Ogos 2013

Bawalah Roh Ramadhan Itu Hari-Hari!

Semasa Ramadan

“Eh Joyah, kau nak tahu tak? Semalam aku nampak tok imam pergi mengendap rumah janda tua tu. Entah apa yang di… Eh, Astaghfirullah. Sekarang bulan puasa lah, bulan puasa tak baik mengumpat. Tak apalah, aku balik dulu. Dah nak berbuka, nasi pun belum ditanak lagi.”
“Apa adik ni, janganlah sentuh laptop abang. Habis ‘download’ tazkirah Ramadan abang terbatal. Terpaksa abang ‘download’ balik. Nasib bulan puasa. Kalau tak, siaplah…”
“Ish, banyak lagi juzuk yang belum dibaca. Kena ekspres sikit ni. Sekarang dah dalam tempoh sepuluh malam terakhir Ramadan.”

Selepas Ramadan

“Ya Allah Joyah, kau tahu tak semalam aku nampak siapa dengan janda tua tu? Haa, tok imam itulah. Nampak macam anak janda tua tu sakit, mulalah tok imam menggatal nak menolong. Dasar orang tua tak sedar diri..”
“Itulah, siapa suruh sentuh laptop abang. Berapa kali dah abang cakap, tak nak dengar. Padanlah muka kena penampar dua kali..”
“Em, malas pula rasa mengaji hari ni. Baca satu muka surat sehelai sahaja cukuplah. Lagipun dah cover baca banyak-banyak waktu Ramadan kan. Rehatlah pulak..”
iluvislam, ramadhan

Hebatnya POWER of Ramadan

POWER bukan sebarang power, POWER ada makna di sebaliknya.
P stands for Platform
Apabila tiba sahaja Ramadan, kebiasaannya kata-kata atau ucapan seperti “aku mahu Ramadan kali ini lebih baik” dan “moga Ramadan kali ini lebih terisi dengan ibadah berbanding Ramadan sebelumnya” yang kedengaran. Tiada terdengar ada yang berharap “moga Ramadan pada tahun ini lebih buruk”.
Kerana apa? Kerana Ramadan salah satu platform untuk menjadikan diri seseorang itu ke arah menjadi yang lebih baik. 
A platform to be a better person!
Dan kerana itu saat tiba sahaja Ramadan, kita semua mula mempersiapkan diri bersama senarai what-to-do-in-Ramadan. Pada bulan yang lain ada? Mungkin ada namun jarang dan kurang kesungguhan.
O stands for Opportunity
Opportunity bermaksud peluang. Ramadan membuka banyak peluang. Peluang menjadi hamba yang lebih baik dan peluang untuk menambahkan amalan serta meraih segala fadhilat yang tersedia. Andai sebelum ini bukanlah satu kebiasaan solat berjemaah di masjid maka pada bulan Ramadan rajin menjejakkan kaki ke masjid untuk solat terawih. Bukan 8 rakaat malah 20 rakaat. Tambahan, tiada satu hari yang ketinggalan.
Ramadan juga membuka peluang untuk mengajak tadarus Al-Quran bersama-sama. Ramadan membuka peluang meningkatkan lagi status ajakan terhadap kebaikan di Facebook. Ramadan membuka peluang meraih keampunan Allah dengan Lailatul Qadr.
W stand for Wish
Wish membawa maksud keinginan atau harapan. Pada bulan Ramadan ini begitu ramai yang terlihat memasang keinginan dan harapan. Harapan supaya dapat menghabiskan 30 juzuk Al-Quran dengan jayanya. Harapan supaya mulut terjaga daripada umpatan dan cacian. Harapan supaya lebih rajin mendirikan qiamullail.
Seribu satu harapan tertulis di minda.
E stands for Encouragement
Bulan Ramadan bulan galakan dan dorongan. Terasa ada satu semangat baru dalam diri terutama pada saat awal kedatangannya. Semangat begitu berkobar-kobar agar hari-hari yang dilalui dalam bulan ini diisi dengan pengisian yang bermanfaat. Diri terdorong untuk berazam agar hari-hari pada bulan ini penuh dengan ibadah yang terancang.
Galakan dan dorongan untuk melakukan pembaharuan dalam diri terutama.
R stands for Reckon
Reckon membawa maksud menghitung. ‘Self-reckoning’ bermakna muhasabah diri. Menghisab dan memuhasabahkan diri sendiri. Bulan Ramadan bulan yang sesuai dirasakan untuk lebih merenung kekhilafan dalam diri. Banyak manakah amalan selama ini? Bagaimanakah hubungan dengan Allah? Bagaimanakah pula akhlak terhadap manusia selama ini?
Sejauh mana bisa mengawal marah? Sejauh mana bisa mendidik hati menjadi seorang yang pemurah memberi dan berkongsi? Sejauh mana percakapan dihalakan kepada perkara-perkara yang positif?
Kerana itu ada yang muhasabah pada bulan Ramadan membawa kepada keputusan untuk istiqamah menutup aurat dengan sempurna walaupun selepas berlalunya Ramadan. Alhamdulillah.
Hebatnya Ramadan mendidik peribadi. Hebatnya Ramadan menghembus semangat dalam diri. Hebatnya Ramadan bisa mengetuk pintu hati insani melakukan pengislahan atau pembaikan terhadap diri. Benarlah Ramadan itu madrasah diri, tarbiyah hati.

Bekalan sepanjang tahun

Namun, kita bukan mahu hanya hebat beribadah pada roh bulan Ramadan yang hebat. Kita mahu membawa tarbiyah dari bulan Ramadan untuk tetap dijadikan bekalan pada bulan-bulan mendatang.
Jika pada bulan Ramadan sedayanya belajar untuk tidak mengumpat maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.
Jika pada bulan Ramadan sedayanya belajar menggagahkan diri untuk bangun malam maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.
Jika pada bulan Ramadan sedayanya cuba mengkhatamkan Al-Quran maka begitu juga yang akan diusahakan malah lebih baik lagi bersama tadabbur.
Kita mahu Ramadan hebat begitu maka pada bulan-bulan selepasnya juga begitu. Kita bukan mahu roh ibadah pada bulan Ramadan sahaja tetapi kita juga mahu roh ibadah itu pada bulan-bulan selepasnya. Ibadah, kebaikan, akhlak bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi mesti diusahakan terlaksana hari-hari jua.
Wahai hamba, bawalah roh Ramadan itu hari-hari. Kerana kita bukan hamba Ramadan tetapi hari-hari kita merupakan hamba Ilahi!
Menanti kehadiran Ramadhan umpama rindu dan kasih yang tak berkesudahan. Ia datang bertamu kembali pada mereka yang merinduinya.. menanti untuk menyayanginya.. menanti untuk berkasih dengannya.. menanti untuk bermadu mesra dengannya..
Kerna Cinta Ramadhan itu, tidak pernah luntur dan padam.. setianya kepada sekalian ummat, membuatkan hati ini terlalu rindu untuk kembali bertemu dengannya.. biar berkali jiwa Ramadhan di sakiti dan dicalari, ia tetap hadir dengan senyuman yang bersinar..
rindu-ramadhan
Cinta Ramadhan itu terlalu mendalam.. padamu Ramadhan, ada sesuatu cinta yang tersirat yang sukar untuk di ungkapkan.. Sampaikan salamku pada Ramadhan agar ia sentiasa mengingati, bahawa aku sentiasa menanti kehadirannya..

Oh Ramadhan,
kedatanganmu semakin hampir,
rinduku padamu semakin menggila,
kau bawa seribu kemuliaan tak terhitung jumlahnya,
kau tutupi seribu kemusnahan bencana dunia.

Kini ku sedar, aku harus bersiap siaga,
supaya kemuliaan yang kau bawa, tidak berlalu begitu saja,
Al quran, akan sentiasa ku bawa,
mathurat, tahajud, menjadi bekalan ku yang utama

Bebarapa hari lagi tersisa
bekalan akan ku persiapkan secukupnya
kerana Aku ingin menemuimu penuh cinta
cinta pada yang Maha Esa.

wallpaper_ramadhan_1024x768

Sabtu, 27 Julai 2013

Nota Cinta Ramadhan

Fajar kini menginjak empat, 
Dan malam ketiga berpisah,
Sebak, lembut melambai dari hati,
Yang masih kecil dan rebung
 
Mulut sedang cuba beribadah,
Kumat kamit merendah diri,
Mengunci benih-benih yang menjengah,
Hati, gamaknya sama,
Menutup kecil-kecil buruk sangka,
Teringat, minta dilupakan,
Terpendam, minta didamaikan,
Terlanjur, minta diampunkan
Andainya Ku Bisa Menunggu Fajar di Ufuk Sana
Moga benarlah ia melupus,
Dengan rahmah dan resah taubah,
Indah nian menangis,
Kerna lebihnya gerun tak tercapai,
Cinta Tuhan Maha Memeluk,
Dibanding geletek rasa sang fitrah
 
Apa juapun terlintas,
Semahunya biarkan hanya Engkau di sini,
Meniup roh-roh mahu berubah, berhijrah,
Cukuplah dua puluh lima yang tergadah,
Tak pernah ampuh tanpa khasyiatullah
 
Kebil rayu yang sayu,
Tersenyum kerna masih mampu,
Menjaga jiwa segenap anggota,
Namun masihlah terus ia merintih,
Memohon untuk menangis
 
Moga akhirnya,
Tersadur hati yang bersih,
Putihnya jernih bersama makna-makna Al-Quran,
Untuk pimpin bahagia untuk ke Sana.

Sejukkan Dengan Wuduk




                             alt
“Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik.”
Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.
Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.

Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak Dari Aurat Lelaki?



alt

Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka. 
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.
Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”
Tunggu..!
Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah.
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu?
Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak?
Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!”
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu.
Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!”
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”
Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Nikmatnya Perpisahan Insan ‘Bercouple’

“Aku memang sangat mencintainya. Tapi aku terpaksa ‘clash’ dengan dia..”
“Kenapa pulak?”
“Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah.”
“Pergh.. terbaiklah bro! Alhamdulillah..”
Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.
Ya.. begitulah.. memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber’couple’, iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.
Cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih.
Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber’couple’. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.
Itu barulah ‘saling menyayangi’ namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka? Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan? Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?
tumblr_mn6uwsupj71qapk2qo1_500
Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber’couple’ itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber’couple’ (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya ‘kehilangan’ atau perpisahan. Kerana ‘kehilangan’ atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.
Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman;
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)
“Biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia.”
Marilah sama-sama kita renungkan… belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita ‘bercouple’ bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.
Jika pasangan kita itu ditakdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun ‘suprise’ yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.
Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Allah SWT. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal.

Amalan Doa Nabi Daud

Marilah kita hayati dan amalkan doa ini. Semoga doa Nabi Daud A.s ini memberi kita semangat dan teguh dalam mencinta Allah SWT sepenuh hati kita melebihi cinta kepada makhlukNya.
doa2
“ Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu,
Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.
Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.”
(Hadis riwayat At-Tarmizi)
Rasulullah SAW bersabda, “Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud a.s.”